Saturday, April 20, 2013

TERKINI ! SENARAI PENUH PENAMAAN CALON BAGI KERUSI DUN KEDAH : 137 calon tanding di Kedah, ramai calon baru



ALOR SETAR - Seramai 137 calon akan bertanding merebut 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kedah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan, dengan banyak kawasan menyaksikan pertandingan lebih dua calon.

Meskipun persaingan dilihat lebih kepada BN menentang Pakatan Rakyat, yang terdiri daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, penamaan calon hari ini menyaksikan kemunculan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) yang turut memeriahkan PRU kali ini, selain calon Bebas.

Secara keseluruhan, bagi DUN, BN bertanding di semua 36 kerusi, Pas (24), PKR (10), DAP (2), KITA (5), Berjasa (2) dan Bersama (1). Bagi Parlimen, BN bertanding semua 15 kerusi, Pas (8), PKR (7), Berjasa (2) dan Bersama (1).

Penyertaan calon Bebas juga agak ramai dengan 18 bagi kerusi Dun dan lima di Parlimen.

Kawasan paling ramai calon adalah kerusi Dun Sidam iaitu pertandingan enam penjuru diikuti DUN Bukit Selambau (5), Parlimen Padang Serai (5), Dun Kota Darul Aman (4), Dun Sungai Tiang (4), Dun Sungai Lima (4), Dun Lunas (4), Parlimen Alor Setar (4) dan Parlimen Sungai Petani (4).

Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mempertahan kerusi Dun Bakar Bata buat kali kelima, berdepan pertandingan tiga penjuru apabila dicabar Jawahar Raja Abdul Wahid (Bersama) dan Mohd Ikmal Ahmad (PKR).

Dua lagi calon yang bertanding buat kali kelima adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hasan Sarif.

Azizan berdepan pertandingan empat penjuru iaitu menentang sepupu sendiri Fadzillah Mohd Ali, yang mewakili BN, serta dua calon Bebas Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim. Abu Hasan pula akan ditentang calon Pas, Ismail Wan Teh.

Paling menjadi tumpuan adalah di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dekat sini, tempat Timbalan Pengerusi BN Negeri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi Dun Ayer Hitam.

Mukhriz, yang dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar jika BN menang di Kedah, menentang penyandang Abdul Ghani Ahmad daripada Pas.

Bagi kerusi Parlimen, Alor Setar menyaksikan empat parti bertanding dengan penyandang iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung ditentang Gooi Hsiao Leung (PKR), Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) serta Jawahar Raja (Bersama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula, yang buat pertama kali bertanding, akan menentang penyandang Mohd Firdaus Jaafar daripada Pas dalam pertandingan satu lawan satu merebut kerusi Parlimen Jerai.

Seorang lagi muka lama iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum akan mempertahan kerusi Parlimen Kubang Pasu menentang calon Pas Mohd Jamal Nasir (Pas).

Bagi pemimpin pembangkang Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang bertanding di Parlimen Pendang akan berdepan cabaran getir kerana BN meletak bekas 'orang kuat' Pendang Datuk Othman Abdul, yang pernah menjadi wakil rakyat di situ selama tiga penggal.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar juga dilihat tidak begitu selesa apabila BN meletak Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail untuk bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Di kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu, BN meletak Ketua Bahagian Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir untuk menentang Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

No comments:

Post a Comment