IKLAN SAHAJA |
ALOR SETAR - Bekas Exco kerajaan negeri Fadzil Hanafi, yang hari ini
bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)
Alor Mengkudu, dipecat keanggotaan daripada Umno serta-merta berikutan
tindakan beliau itu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md
Hanipah berkata tindakan Fadzil bertanding sebagai calon Bebas merupakan
satu tindakan mengkhianati parti.
"Kami berasa kesal apabila dia (Fadzil) telah mengkhianati parti apabila
bertanding sebagai calon Bebas. Fadzil meletakkan dirinya lebih utama
daripada kepentingan seluruh parti," katanya dalam kenyataan di sini
hari ini.
Beliau berkata BN Kedah dan Dun Alor Mengkudu tidak tergugat dengan
tindakan berkenaan malah menaruh penuh keyakinan kepada calon BN bagi
Dun Alor Mengkudu Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, akan menerima
sokongan oleh pengundi.
Sementara itu, Fadzil, 55, berkata beliau tidak gentar dengan tindakan
disiplin yang dikenakan Umno apabila bertanding sebagai calon Bebas
kerusi Dun Alor Mengkudu.
"Saya tak risau dengan masalah disiplin yang akan dihadapi kerana saya berjuang untuk memenuhi suara akar umbi," katanya.
Sebelum ini beliau pernah menjadi Adun BN di Alor Mengkudu selama dua
penggal selepas menang pilihan raya umum 1999 dan 2004 serta menjadi
Exco kerajaan negeri pada 1999 hingga 2004. - Bernama
No comments:
Post a Comment