KUALA LUMPUR:
Asas sokongan pengundi Sungai Limau kepada PAS kekal dalam peratusan
antara 53-55 peratus manakala diikuti rapat oleh Umno BN sekitar 45-47
peratus.
“Selisih peratus ini dilihat tiada perubahan besar
berlaku kepada pengundi dalam pilihan raya kecil N20 Sungai Limau,” ujar
Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar dalam satu
kenyataan.
Menurutnya, sepanjang kajian itu dijalankan faktor
identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi menyumbang
kepada pengekalan undi PAS di Dun Sungai Limau.
Dalam pilihan
raya kecil ini, ujarnya jelas pertembungan langsung antara PAS dan Umno,
bukan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.
Berikut ialah kenyataan penuh.
Selepas
menghampiri saat-saat akhir tempoh berkempen, asas sokongan pengundi
kepada PAS kekal dalam peratusan antara 53-55 peratus manakala diikuti
rapat oleh Umno BN sekitar 45-47 peratus. Selisih peratus ini dilihat
tiada perubahan besar berlaku kepada pengundi dalam pilihan raya kecil
N20 Sungai Limau.
Sepanjang kajian ini dijalankan faktor
identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi menyumbang
kepada pengekalan undi PAS di sini.
Dalam pilihan raya kecil ini, jelas pertembungan langsung antara PAS dan Umno, bukan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.
Ilham
Centre membuat kajian lapangan bermula 28 Oktober dan berakhir pada 1
November 2013 dan berjaya menemubual secara tatap muka dengan 602
responden di kesemua 19 daerah mengundi dalam N20 Sungai Limau.
Kajian
ini memfokuskan untuk menilai pendapat di kalangan pengundi berdaftar
bagi membekalkan dapatan yang komprehensif, mempunyai hubungkait serta
mewakili pandangan populasi di DUN Sungai Limau ini. Kajian ini sebagai
rujukan bagaimana dan kenapa pengundi berdaftar mereka menentukan sikap
dalam pilihan raya kecil Dun Sungai Limau 2013.
Identifikasi parti dan pengaruh pondokBerdasarkan
dapatan kajian, pengundi N20 Sungai Limau cukup tegar dan setia di atas
faktor identifikasi parti mengatasi faktor-faktor lain. Faktor ini
menyumbang 81 peratus diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon
12 peratus dan faktor isu hanya 4 peratus sahaja.
Sumbangan
pengaruh dua buah pondok iaitu Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya
Junid yang mana merupakan antara tokoh pengasas PAS Kedah berjaya
mengasaskan tapak sokongan masyarakat kepada PAS yang kuat.
Dapatan
kajian membuktikan bahawa pengundi yang tinggal di daerah mengundi
sekitar pondok-pondok tersebut merupakan kubu kuat kepada PAS seperti
daerah mengundi Bukit Besar, Bukit Choras, Gelam Tiga, Batu 16,
Permataang Buloh dan Sungai Dedap. Kawasan ini sukar dtembusi oleh UMNO
untuk menafikan majoriti besar yang diperolehi PAS dalam DUN ini.
Manakala
daerah mengundi yang jauh dari jangkauan pengaruh pondok seperti Dulang
Kechil, Dulang Besar, Sungai Kering dan Sungai Daun kelihatan pengaruh
UMNO lebih menyerlah berbanding PAS.
Terdapat daerah mengundi
yang sentiasa berubah pola sokongan dan menjadi rebutan silih ganti di
antara PAS dan juga UMNO seperti daerah mengundi Sedaka, Ulu Sedaka,
Simpang Tiga, Kabu Sepuloh dan Sungai Limau.
Pola sokongan PAS
di daerah mengundi Padang Lumat pada tradisinya adalah kubu kuat PAS
berlaku perubahan ketara ekoran berlaku krisis dalaman PAS kawasan.
Antara
keunikan kawasan ini ialah peratusan pengundi atas pagar (fence sitter)
amat kecil sekitar 11 peratus sahaja berbanding di kawasan-kawasan lain
yang kebiasaannya mencecah 30 peratus.
Umno underdog tetapi agresif Dapatan
kajian menunjukkan UMNO/BN yang turun berkempen dalam situasi underdog
kelihatan cukup agresif menggunakan segenap instrumen dan kekuatan
jentera.
Manakala PAS pula menggunakan menggunakan strategi bertahan kerana yakin dengan kesetiaan pengundi untuk kekal dengan PAS.
Penilaian
pola sokongan pengundi tidak berlaku anjakan ketara berdasarkan tiada
pengumuman lompat parti bagi kedua-dua pihak. Senario ini mengukuhkan
bahawa pengundi Melayu selesa dengan mengekalkan status quo pilihan
parti mereka.
Merujuk kepada soalan ILHAM Centre kepada pengundi
berkaitan dengan pengekalan status sokongan pilihan parti sama seperti
pilihan raya umum ke-13 yang lepas, 85 peratus mengakui akan mengekalkan
sokongan mereka.
Menyedari hakikat itu, jentera UMNO kelihatan
begitu agresif menerusi kempen pemimpin-pemimpin parti, sayap Wanita,
dan Puteri berusaha memecahkan pola sokongan pengundi di kubu kuat PAS.
Ini
dibuktikan apabila UMNO berjaya menganjurkan program rasmi kerajaan di
kedua-dua pondok yang menjadi teras sokongan PAS selama ini. Pemecahan
tradisi ini ialah merupakan kejayaan besar kepada jentera UMNO dan
fenomena baru kali ini.
Faktor Azizan dan Mukhriz ILHAM
Centre mengukur indikator tinggalan pengaruh Tan Sri Ustaz Azizan Razak
memang ketara dan kukuh. 68 peratus responden menyifatkan Azizan
mempunyai sumbangan dan pengaruh yang besar di sini. Beliau disifatkan
sebagai pemimpin yang sangat prihatin dan merakyat tanpa mengenal
perbezaan parti. Antara jasa besar yang diakui oleh pengundi ialah
Azizan berjaya meredakan pertembungan keras yang menjadi tradisi
UMNO-PAS di kawasan ini.
Ini menyebabkan kedua-dua jentera
pilihan raya menggunakan faktor Azizan dalam kempen mereka. Paling
mengejutkan UMNO menganjurkan majis tahlil rasmi dan mencetak kain
rentang menyedekahkan al-Fatihah sebagai elemen menarik simpati pengundi
yang memberi undi di atas faktor Azizan.
Selain itu ILHAM juga
mengukur pengaruh Datuk Paduka Mukhriz Mahathir dalam pilihan raya ini.
Merujuk kepada tahap kepuasan hati pengundi kepada kerajaan negeri Kedah
di bawah pimpinan beliau menunjukkan pengaruh berada tahap 38 peratus.
Pengundi
mengukur dan menilai pengaruh Mukhriz berdasarkan kesungguhan beliau
turun padang menemui pengundi sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Faktor calon, Azam mendahului Dr Sohaimi Walaupun
faktor calon hanya 12 peratus dinilai oleh pengundi, namun ini tetap
signifikan dalam pilihan raya kecil ini. Jika dibandingkan calon PAS dan
calon UMNO/BN, ternyata calon PAS mempunyai kelebihan yang ketara.
Kekuatan
calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abdul Samad lebih dikenali oleh pengundi
sebelum pilihan raya kecil lagi sebanyak 50 peratus berbanding calon
UMNO/BN, Dr Sohaimi Lazim sebanyak 36 peratus sahaja. Dr Sohaimi hanya
dikenali selepas pengumuman calon BN dilakukan.
Kelebihan Azam
pada kaca mata pengundi ialah dipilih berdasarkan latar belakang
pengajian agama (43 peratus), berasal daripada parti yang sama dengan
pengundi (38 peratus) dan berasal daripada keluarga ulama Pondok Bukit
Besar (17 peratus) menyumbang sokongan kepada calon ini.
Dr
Sohaimi pula kekuatanya terletak kepada sokongan asas penyokong BN (33
peratus) disebabkan beliau calon yang berada di luar senarai perkiraan
pengundi sebelum ini. Selain itu beliau juga dilihat oleh pengundi
mempunyai kelebihan kelulusan tinggi (16 peratus).
Isu-isu nasional dan lokal memberi kesan minima Sepanjang
pengamatan berdasarkan data kuantitatif, pengundi di Sungai Limau
menyifatkan isu-isu nasional mahupun setempat tidak memberikan kesan
besar penilaian kepada mereka untuk mengubah pola pengundian.
Isu-isu
yang dimainkan oleh pihak media perdana elektronik mahupun bercetak
bersumberkan kenyataan-kenyataan pemimpin kedua-dua parti dilihat gagal
mempengaruhi mereka. Sebagai contoh isu dakwaan TPM mengaitkan kematian
Azizan yang mengidap diabetes dengan kenaikkan harga gula tidak
mengurangkan sokongan kepada kepada calon UMNO (28 peratus) manakala isu
superimpose calon PAS bersama Azizan juga tidak menjejaskan sokongan
kepada calon PAS (19 peratus).
Namun pengundi di sini sedikit
terkesan dengan perkara yang dekat dan terbeban kepada mereka. Ini
dibuktikan dengan dapatan kajian yang menunjukkan mereka terkesan dengan
kenaikan harga minyak (73 peratus) dan harga keperluan barangan (56
peratus).
Walaupun demikian faktor ini tidak mampu mempengaruhi
pengundi untuk mengubah pendirian mereka kerana faktor pilihan pengundi
berdasarkan parti mengatasi faktor-faktor lain.
Rebutan di daerah mengundi marginal Kempen
kelihatan berlaku persaingan sengit di antara jentera PAS dan UMNO di
enam daerah mengundi marginal iaitu Sedaka, Kabu Sepuloh, Padang Lumat,
Simpang Tiga, Sungai Daun dan Selengkoh. Daerah mengundi marginal ini
merujuk kepada keputusan pilihan raya lepas yang mana memperlihatkan
kedua-dua parti memperolehi undi majoriti tipis.
Kajian ini
mengenal pasti kedua-dua jentera rancak menumpukan usaha untuk meraih
undi di lokaliti-lokaliti ini. Kempen menerusi kaedah konvensional
digunakan pada tahap maksimum oleh jentara UMNO dan PAS.
ILHAM
mengajukan soalan untuk mengukur jenis kempen yang efektif kepada
pengundi di kawasan ini dan memperlihatkan kaedah ziarah rumah ke rumah
dianggap kaedah paling berkesan kepada mereka.
Kempen ziarah
rumah ke rumah oleh jentera UMNO disaingi rapat oleh PAS dengan
peratusan 80 peratus (UMNO) berbanding 74 peratus (PAS).
UMNO
jelas ke hadapan dalam segmen keadah kempen menggunakan media massa
terutamanya televisyen (84 peratus), radio (49 peratus) dan akhbar
harian (74 peratus).
PAS pula hanya bergantung kepada kaedah
tradisi mereka iaitu ceramah umum (38 peratus), ceramah kelompok (34
peratus) dan pengedaran risalah calon (39 peratus).
Walaupun begitu, keadaan pengundi kelihatan menerima baik kedua-dua belah jentera namun perubahan sokongan tidak ketara.
PAS dijangka bertahan dengan majoriti lebih rendah Prediksi
ILHAM Centre berdasarkan respons pengundi terhadap undi yang akan
diberi kalah menang antara kedua-dua parti ini, PAS mendahului dengan
peratusan sebanyak 48 peratus dan BN berada di aras 42 peratus dan
bakinya adalah sebanyak 10 peratus yang masih belum membuat keputusan.
Peratusan
undi ini diukur kepada pengundi yang berada di dalam kawasan pilihan
raya tanpa melibatkan sekitar 7 peratus pengundi yang berada di luar
kawasan.
Pengundi Cina ketika kajian ini dilakukan kelihatan
berhati-hati dalam membuat keputusan kali ini. Undi Cina disifatkan
mendekati model pilihan rasional (rational choice model) yang mengambil
kira aspek untung rugi, faedah serta impak kepada komuniti mereka. Semua
pertimbangan ini mengambil kira survival ekonomi masyarakat ini dalam
membuat keputusan politik kali ini.
Kelebihan PAS ialah
mempunyai undi asas penyokong tegar dan setia parti di dalam kawasan
yang tinggi ditambah dengan kelebihan peratus pengundi yang berada di
luar kawasan dilihat condong kepada PAS atau atas kepentingan Pakatan
Rakyat.
BN kelihatan optimis untuk menang dalam pilihan raya
kecil ini berasaskan beberapa elemen yang kelihatan memberi peluang
untuk menang. Antaranya ialah asas sokongan penyokong tegar dan setia
parti kekal, serangan jentera yang berjaya membuat penetrasi di kubu
kuat PAS dan di daerah mengundi marginal serta komposisi pengundi muda
yang tinggi yang dianggap condong menyokong mereka.
Latar belakang kajian ILHAM Centre menggunakan stratified random sample dalam survei ini:
Kekuatan
pendekatan ini adalah kebolehupayaan untuk meluaskan perbandingan
sampel dengan maklumat demografi yang absah di samping mengekalkan
pemilihan sample secara rawak. Perwakilan stratifikasi ini ditetapkan
mengikut;
a) Daerah Mengundi
b) Umur
c) Parti
d) Gender
Persampelan
yang direka bentuk ini bertujuan untuk mendapatkan perwakilan
menyeluruh daripada pengundi berdaftar yang berada di dalam buku daftar
pemilih di DUN N20 Sungai Limau.
Metode persampelan ini merangkumi;
a)
602 sampel pengundi berdaftar dengan menggunakan kaedah temubual tatap
muka dengan salah seorang pengundi berumur 21 tahun ke atas yang
menepati stratifikasi yang telah ditetapkan bagi sesuatu peti undi.
b)
Senarai daftar pemilih menerusi buku yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) membekalkan alamat yang lengkap dan angka responden
yang tepat di dalam kawasan persampelan.
c) Setiap sesi temubual yang tidak berjaya akan digantikan dengan responden lain di dalam lokaliti yang sama.